Serdang, 25 April 2025 – Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (PPAUPM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-45 pada 25 April 2025 bertempat di L’apprenti Restaurant & Deli, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mesyuarat ini telah menghimpunkan ahli-ahli persatuan yang terdiri daripada pegawai akademik UPM dari pelbagai fakulti dan institut, dengan tujuan utama untuk membentangkan laporan tahunan, penyata kewangan, serta membincangkan hal ehwal dan kebajikan ahli-ahli persatuan. Turut diadakan ialah sesi pemilihan ahli jawatankuasa baharu bagi sesi 2025/2027.
Mesyuarat Agung Tahunan tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia. Presiden PPAUPM, Prof. Dr. Jalila Abu, dalam ucapannya menekankan kepentingan dan keterlibatan aktif persatuan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan warga akademik. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jawatankuasa atas komitmen mereka dalam memacu aktiviti dan pencapaian persatuan sepanjang sesi lepas.
Sesi pemilihan ahli jawatankuasa bagi sesi 2025/2027 dijalankan dengan persetujuan semua ahli yang hadir untuk melantik semula ahli jawatankuasa sesi lepas sebagai ahli jawatankuasa bagi sesi baharu ini.
Mesyuarat kali ini turut menyaksikan perbincangan konstruktif untuk terus memperkukuh peranan PPAUPM sebagai suara akademik yang progresif di peringkat universiti mahupun nasional.
PPAUPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli yang hadir dan berharap sokongan padu akan terus diberikan dalam memperkasakan lagi agenda persatuan pada masa akan datang.

Tarikh Input: 23/05/2025 | Kemaskini: 23/05/2025 | ferdius

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia